"“ Menjelang abad ke-17, negara-negara Eropah seperti Perancis, Itali dan England mula menikmati..."

““

Menjelang abad ke-17, negara-negara Eropah seperti Perancis, Itali dan England mula menikmati kemajuan hasil industri mereka yang sedang berkembang. Malangnya, perkara itu tidak berlaku kepada Jerman dengan negara itu masih lagi dalam keadaan mundur. Sedangkan negara itu memiliki sumber alam yang banyak, lebih ramai cendekiawan dan etika kerja yang lebih ke hadapan berbanding negara-negara lain.

Rupa-rupanya, jawapan kepada kemunduran mereka sudah ada di depan mata seperti yang dinyatakan Profesor Emeritus Abdullah Hassan iaitu menganaktirikan bahasa ibunda dan mengutamakan bahasa asing. Konklusi sama turut dikongsi polimath Jerman yang terkenal, Gottfried Wilhelm Leibniz selepas melihatnya dianaktirikan sebagai bahasa pendidikan, bahasa perdagangan dan bahasa komunikasi.

Bagi golongan elit terutama golongan bangsawan, Bahasa Perancis dan Bahasa Latin dianggap penanda aras status mereka. Jika disuruh berbahasa Jerman, memang nasiblah siapa yang menyuruh itu dit4mp4r dan dib3l4sah kerana Bahasa Jerman dianggap bahasa golongan bawahan. Leibniz sedar halangan bahasa ini merupakan halangan kepada penyatuan rakyat Jerman tanpa mengira status mereka.

Beliau sedar apabila bahasa ibunda diketepikan dan bahasa asing didewakan, rakyat akan kehilangan kepercayaan kepada diri sendiri dan menjejaskan pemikiran mereka. Tambah Prof Abdullah lagi, apabila ini berlaku, sesebuah bangsa itu tidak akan maju ke hadapan. Leibniz juga tidak segan mengakui Perancis tidak menerima mereka sebagai nukleus masyarakat negara itu.

Tetapi kesimpulan beliau langsung tidak berkenan di hati golongan atasan dan intelektual Jerman. Pada mereka, bahasa Perancis adalah segala-galanya dari bahasa dunia hinggalah bahasa kesusasteraan dan kebudayaan. Nak utamakan Bahasa Jerman? Siapa yang mampu memahami bahasa bertaraf rendah, asing dan tidak dapat bersaing dengan dunia luar? Hanya orang gila sahaja yang memperjuangkan bahasa picisan sebegitu!

Bagi para intelektual Jerman, mereka menyatakan Bahasa Jerman tidak mempunyai istilah-istilah yang cukup dan tatabahasanya pun tidak ada. Oleh sebab itulah maka, pemikiran sesiapa yang menuturkannya bersifat pendek akal. Mereka juga tidak segan silu mengatakan Bahasa Perancis harus menjadi keutamaan sekiranya mahu bersaing dengan negara-negara lain di pentas antarabangsa.

Hakikatnya seperti disedari Prof Abdullah dan Leibniz, mereka sebenarnya bimbang apabila Bahasa Jerman dimartabatkan, mereka akan kehilangan semua kelebihan yang dinikmati ketika itu. Ini kerana apabila rakyat diajar ilmu dalam bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar pendidikan, mereka akan membuang sikap katak di bawah tempurung dan bersedia untuk membawa kemajuan dalam negara sekaligus mencabar kedudukan status sedia ada.

Untuk menjayakan usahanya itu, Leibniz mengkaji kedudukan dan peranan bahasa-bahasa kebangsaan di beberapa negara termasuk China dan membandingkannya dengan kedudukan dan peranan bahasa Jerman. Hasil pemerhatiannya mendapati negara-negara ini mula maju selepas menggunakan bahasa ibunda mereka dalam semua urusan termasuk pendidikan dan perdagangan.

Ini dapat dilihat sendiri di Perancis dan Itali yang mula menikmati kemajuan selepas menggunakan bahasa ibunda mereka untuk menggantikan Bahasa Yunani dan Bahasa Latin. Kemajuan sama turut dinikmati England selepas memajukan dan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan universiti-universiti.

Begitupun, usaha menyakinkan golongan pemerintah untuk menyokong usahanya memartabatkan Bahasa Jerman bukan sesuatu yang mudah. Tetapi Leibniz tidak berputus asa dan terus melobi mereka kerana yang untung pada akhirnya ialah rakyat. Apabila mereka meraih taraf pendidikan yang baik, ia akan membantu mereka memajukan negara dan secara tidak langsung menjadikan kehidupan mereka lebih makmur dan permai.

Bagi menjayakan usahanya itu, beliau mengusulkan beberapa gagasan kepada golongan pemerintah:

  • membakukan bahasa Jerman dengan menyusun tatabahasa dan istilahnya.
  • menyebarkan bahasa Jerman kepada seluruh rakyat Jerman.
  • menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa pengantar di sekolah dan universiti.
  • menggunakan bahasa Jerman sebagai bahasa pentadbiran negara.
  • menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa perniagaan.
  • menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa komunikasi umum dalam semua bidang dan peringkat.

Hasilnya, gagasan beliau dipersetujui mereka menerusi penerbitan sebuah buku berjudul Dasar-Dasar Tatabahasa Bahasa Jerman yang dikarang Johan Christoph Gottsched pada tahun 1750-an. Siapa sangka, buku ini mendapat sambutan hangat dalam kalangan rakyat.

Ini menunjukkan sikap patriotisme rakyat Jerman yang tinggi terhadap bahasanya. Tatabahasa Jerman ini membuktikan kepada semua bahawa bahasa Jerman juga bahasa yang teratur dan mampu bersaing dengan mana-mana bahasa di Eropah. Dari situlah, bahasa Jerman terus membangun dan digunakan dalam bidang-bidang yang diusulkan oleh Leibniz. Itulah juga saat yang merupakan permulaan kebangkitan Jerman sebagai salah satu negara maju di dunia.

Leibniz yang kembali menemui Penciptanya pada tahun 1716 tidak berpeluang melihat buah titik peluk perjuangannya. Namun begitu, wawasannya telah memupuk jalan yang meletakkan bahasa Jerman sebagai bahasa utama yang memainkan peranannya sebagai bahasa pendidikan, pentadbiran dan perhubungan dalam semua bidang dalam kalangan rakyat Jerman.

Begitupun, masih ada dalam kalangan rakyat Malaysia hari ini yang berterusan memandang rendah Bahasa Melayu dan menganggapnya sebagai bahasa picisan seperti golongan atasan Jerman yang menentang reformasi bahasa Leibniz.

Baru-baru ini, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi satu ciapan Twitternya menggesa agar mata pelajaran kritikal seperti Sains dan Matematik kembali diajar kepada pelajar-pelajar di sekolah dengan harapan membantu mereka menguasai Bahasa Inggeris dan negara cepat maju.

Jika anda perasan, bukankah kenyataan ini amat serupa dengan kenyataan sesetengah pemerintah dan bangsawan yang tidak senang dengan usaha Leibniz menjulang Bahasa Jerman? Nasihat penulis, berhentilah memperlekeh prestij bahasa ibunda anda sendiri. Walau sefasih mana anda berbahasa asing baik Urdu, Perancis, Itali, Sepanyol atau Inggeris sekalipun, yang mendefinisikan bangsa anda ialah bahasa ibunda anda sendiri.

Nak memajukan bangsa bukan bermula dengan mengejar kemajuan bersifat material tetapi dengan memartabatkan jati diri sesebuah bangsa seperti bahasa ibunda sebagai tunjang utama. Jadilah seperti Leibniz dan Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz yang tetap mencintai bahasa ibunda mereka sehingga ke akhir hayat mereka. Jangan jadi manusia ibarat ulat lupakan daun kerana manusia sebegini yang akhirnya menjahanamkan bangsa mereka sendiri!

RUJUKAN:

Hassan, A. (2015). Bahasa Jerman Membina Tamadun Jerman.





source https://thetheoritical.blogspot.com/2020/12/rahsia-kebangkitan-bangsa-jerman.html
from Tumblr https://fuckinamormitsuki.tumblr.com/post/637963292735881216

- http://fuckinamormitsuki.blogspot.com/2020/12/rahsia-kebangkitan-bangsa-jerman.html
from Tumblr https://fuckinamormitsuki.tumblr.com/post/637972954176798720

- http://fuckinamormitsuki.blogspot.com/2020/12/menjelang-abad-ke-17-negara-negara.html
from Tumblr https://fuckinamormitsuki.tumblr.com/post/637984279926898688

Comments

Popular posts from this blog

""

5 Jenama Luar Yang Disangka Berasal Dari Malaysia

Kenapa Monggol Menyerang Empayar Islam?